fbpx

Piala Dunia Kelab: Man. City pasang hajat besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAALAND (tengah) pastinya menjadi sandaran City untuk merobek gawang lawan dalam misi mempertahankan kejuaraan dunia. - AFP

GERGASI Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City dilihat bersedia untuk mempertahankan gelaran mereka menjelang kempen Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 yang membuka tirai pada 15 Jun ini.

Pada kejohanan itu, City yang merupakan juara Eropah edisi 2022/23 diundi dalam Kumpulan G bersama jaguh Serie A, Juventus, Wydad dari Maghribi dan wakil Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Al Ain.

Pengendali The Citizens, Pep Guardiola menyifatkan peluang untuk beraksi dalam kejohanan berprestij itu sebagai satu penghormatan buat kelab dibimbingnya sejak 2016.

“Kami amat berbangga menyertai kejohanan ini. Ia menggambarkan kejayaan kami dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan saingan domestik.

“Ini adalah kejohanan baharu buat kami dan saya menantikannya dengan penuh semangat,” kata Guardiola.

Sepanjang sembilan tahun bersama City, Guardiola sudah menghadiahkan enam kejuaraan EPL, dua Piala FA, empat Piala Liga Inggeris, satu gelaran UCL dan satu Piala Dunia Kelab.

City merangkul gelaran juara dunia kelab apabila menewaskan Fluminense dari Brazil di Arab Saudi pada 2023.

“Sudah tentu ia menjadi sangat bermakna jika kami memenangi kejohanan ini sekali lagi tetapi realitinya terdapat 31 pasukan lain yang mengimpikan perkara sama.

“Kami akan mengambil kejohanan ini satu demi satu tanpa terlalu jauh memikirkan mengenai kejuaraan,” ujar Guardiola.

Bekas penyerang City, Sergio Aguero menyifatkan kelab itu antara pasukan pilihan untuk menjuarai edisi kali ini berdasarkan pengalaman luas dan rekod konsisten di bawah Guardiola.

“City sentiasa menjadi pilihan utama. Kekuatan utama mereka adalah mentaliti. Guardiola tahu cara mengekalkan semangat juang pemainnya dalam setiap perlawanan,” katanya.

Menurut Aguero, walaupun berdepan saingan dari pelbagai benua, kelebihan City adalah kestabilan corak permainan dan kepercayaan Guardiola terhadap falsafah bola sepaknya sendiri.

“Pep tak akan mengubah gaya permainan walau apa pun yang terjadi. Itu antara kekuatannya, beliau sentiasa yakin dengan pendekatannya.

“Beliau memiliki barisan pemain hebat dan tahu bagaimana untuk mengurus mereka,” kata legenda Argentina itu.

Aguero yang pernah menjulang pelbagai trofi bersama City juga berharap agar kelab-kelab Amerika Selatan, khususnya dari Brazil dan Argentina mampu memberi saingan sengit dalam edisi kali ini.

“Kejohanan ini adalah pentas terbaik untuk menonjolkan semangat dan budaya bola sepak Amerika Selatan. Saya yakin kelab dari benua itu akan memberi tentangan hebat,” ujarnya.

INFO

KUMPULAN G

MANCHESTER CITY

Negara: England

Nama Gelaran: The Citizens

Jurulatih: Pep Guardiola

Kapten: Ruben Dias

Tiket Kelayakan: Juara Eropah 2022/23

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI