SERING dikenali sebagai kilang bakat dan pelopor gaya permainan ‘gegenpressing’, RB Salzburg membawa pendekatan yang unik dan bertenaga ke Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 yang menggunakan format baharu pada edisi kali ini.
Walaupun tiada harapan besar akan diletakkan kepada kelab Austria itu, ia pasti menjadi peluang buat Salzburg membuktikan model pembangunan dan intensiti tinggi mampu menjelmakan sesuatu khususnya bersaing dengan gergasi-gergasi bola sepak dunia.
Salzburg sudah melahirkan pemain berkelas dunia seperti Erling Haaland, Sadio Mane, Dominik Szoboszlai, Dayot Upamecano dan ramai lagi sekali gus membuktikan kualiti lebih dinamik yang ada pada kelab itu mampu menghadirkan kejutan besar.
Walaupun jarang mengekalkan pemain berkualiti untuk tempoh lama, falsafah dan struktur pasukan tetap konsisten dengan kehadiran bintang baharu tetap mampu mengekalkan corak sama seperti pernah dijelmakan sebelum ini.
Intensiti tinggi, kemampuan mengekalkan tempo sepanjang 90 minit dan pendekatan ‘gegenpressing’ adalah tunjang utama identiti Salzburg di mana tiada jalan mudah buat pasukan lawan yang mungkin akan melakukan kesilapan.
Setelah memenangi bola, Salzburg juga berupaya untuk melakukan transisi lebih pantas, bermula daripada pertahanan hingga ke serangan di mana mereka sering mempraktikkan formasi 4-3-1-2 atau 4-4-2 yang mengutamakan kepadatan di bahagian tengah padang.
“Ini adalah peluang yang cukup istimewa untuk bersaing dengan pasukan terbaik di dunia dan kami tidak sabar berdepan pasukan dari pelbagai benua. Saya masih ingat lagi Piala Dunia 2006, ramai orang menikmati bola sepak dan meraikannya.
“Adalah menjadi detik terbaik untuk kami berdepan pasukan terbaik seperti Real Madrid, sama seperti di Liga Juara-Juara Eropah. Saya tidak fikir prestasi kami terlalu buruk berbanding Real.
“Sekarang adalah kesempatan buat kami tunjukkan sejauh mana kami mampu melangkah dalam pertandingan ini,” kata pengurus Salzburg, Thomas Letsch.
Elemen pengalaman mungkin menjadi pemisah Salzburg dengan kelab besar lain tetapi status underdog mungkin sedikit meredakan tekanan buat Letsch dalam menyiapkan pasukan dengan pendekatan sedia ada tanpa mengharapkan sesuatu yang lebih istimewa.
INFO
KUMPULAN H
RB SALZBURG
Negara: Austria
Nama gelaran: Die Roten Bullen
Jurulatih: Thomas Letsch
Kapten: Mads Bidstrup
Pemain tumpuan: Dorgeles Nene