DIANGGARKAN terdapat lebih 1.5 bilion wanita di seluruh dunia mengalami masalah kesihatan berkaitan haid.
Namun, ramai yang menerima penderitaan itu sebagai perkara biasa tanpa menyedari kesannya terhadap kehidupan seharian mereka.
Malah, satu daripada tiga wanita dalam usia reproduktif mengalami pendarahan haid berlebihan (HMB). Dalam perubatan, pendarahan haid yang berlebihan boleh menjejaskan kualiti hidup wanita.
Statistik ini meningkat kepada satu daripada dua wanita apabila mereka melalui peralihan ke menopaus.
Satu kajian mengenai kesan HMB terhadap kualiti hidup wanita mendedahkan lebih 83 peratus menyatakan masalah itu menjejaskan aktiviti harian mereka.
Manakala lebih 82 peratus wanita mengatakan ia menjejaskan hubungan dengan pasangan dan 80 peratus mengatakan ia menjejaskan produktiviti mereka di tempat kerja.
Walaupun kesannya besar dan kadar kejadiannya tinggi, namun ramai wanita tidak menyedari bahawa HMB adalah satu masalah kesihatan.
Hampir 59 peratus wanita yang terjejas percaya bahawa keadaan mereka adalah sebahagian daripada kitaran haid normal. Mitos dan salah faham mengenai HMB boleh membawa kepada anggapan bahawa gejala ini adalah perkara biasa dan harus diterima.
Isu ini dibincangkan dalam satu taklimat media anjuran syarikat farmaseutikal dan sains hayat multinasional Jerman, Bayer baru-baru ini.
Perbincangan bertajuk ‘Anything but Normal’ yang diadakan di Kuala Lumpur itu bertujuan meningkatkan kesedaran bahawa HMB boleh menjadi petanda kepada sesuatu yang lebih serius dan menggalakkan wanita mendapatkan bantuan lebih awal.
Acara itu menampilkan panel pakar termasuk Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pantai Kuala Lumpur merangkap Presiden Kolej Obstetrik dan Ginekologi, Akademi Perubatan Dr. Premitha Damodaran; Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Fakulti Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Mohamad Nasir Shafiee dan pakar diet kesihatan Wanita yang juga jurulatih peribadi, Xinthia Chua.

Mengulas akan hal tersebut, Dr. Premitha berkata, HMB adalah isu kesihatan biasa tetapi sering diabaikan.
Menurutnya, ia boleh memberi kesan besar terhadap kualiti hidup wanita dari segi fizikal, emosi dan sosial.
“Ramai wanita enggan mendapatkan rawatan kerana menyangka simptom itu adalah normal. Amat penting untuk mendapatkan bantuan perubatan dan kelewatan mengenal pasti simptom boleh menyebabkan terlepasnya peluang untuk mendapat bantuan awal.
“HMB boleh menjadi gejala kepada masalah kesihatan yang mendasari seperti fibroid, ketidakseimbangan hormon atau gangguan endometrium,” katanya.
Tambahnya, kelewatan mendapatkan rawatan boleh mengakibatkan komplikasi, termasuk anemia teruk yang mungkin memerlukan rawatan perubatan lebih intensif.
Dalam pada itu, Dr. Mohamad Nasir pula menyentuh berkaitan HMB dengan hiperplasia endometrium atipikal iaitu satu keadaan yang dicirikan oleh pertumbuhan sel tidak normal pada lapisan rahim.
Ini sekali gus mengukuhkan keperluan bagi wanita untuk lebih peka terhadap simptom mereka.
“Hiperplasia atipikal ialah keadaan di mana lapisan rahim (endometrium) menebal secara tidak normal dan menunjukkan perubahan sel yang bersifat prakanser.
“Walaupun tidak semua kes akan berkembang menjadi kanser, wanita yang mengalami hiperplasia endometrium atipikal mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidap karsinoma endometrium terutamanya jika tidak dirawat,” jelasnya.
Tambahnya, HMB merupakan salah satu gejala yang paling biasa bagi hiperplasia atipikal.
Isu ini semakin membimbangkan di Malaysia, di mana peningkatan kadar obesiti dan penyakit metabolik menyumbang kepada peningkatan kes kanser endometrium (kanser rahim).
Selain itu, peningkatan kes sindrom ovari polisistik (PCOS) iaitu satu keadaan berkaitan dengan ketidakseimbangan hormon juga dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser endometrium sebanyak tiga kali ganda.
Dr. Mohamad Nasir menggesa wanita supaya tidak mengabaikan haid yang berpanjangan atau terlalu banyak kerana pengesanan awal hiperplasia boleh menyelamatkan nyawa.
Selain itu, panel turut membincangkan pelbagai pilihan rawatan yang tersedia untuk HMB termasuk ubat-ubatan, prosedur pembedahan dan perubahan gaya hidup. Berunding dengan pakar penjagaan kesihatan boleh membantu wanita mencari pendekatan yang paling sesuai dengan keperluan individu.
Selain rawatan perubatan, perubahan gaya hidup juga boleh membantu wanita menguruskan pendarahan haid berlebihan dengan lebih berkesan.
Mengamalkan diet seimbang yang kaya dengan zat besi dan nutrien serta senaman kerap boleh meningkatkan kesihatan keseluruhan, selain berpotensi mengurangkan simptom.
“Gaya hidup sihat bukan sahaja menyokong kesejahteraan fizikal, malah meningkatkan kesihatan emosi sepanjang kitaran haid,” katanya.
Sebagai sokongan kepada inisiatif ini, Bayer telah melancarkan laman web khas, www.knowyourperiod.com yang direka untuk meningkatkan kesedaran mengenai pendarahan haid berlebihan.