KANGAR – Seorang pemandu jentera didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 365 kilogram (kg) pada bulan lalu.
Tertuduh, Mohd. Mudzakkir Zainal, 41, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.
Tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Mohd Mudzakkir bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa telah mengedar dadah berbahaya jenis syabu seberat 365 kg sekitar pukul 8.45 malam pada 31 Mei lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Belat Batu, Beseri, Padang Besar.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 22 September depan.
Akhbar sebelum ini melaporkan kejayaan polis merampas syabu seberat 365 kg bernilai RM13.14 juta menerusi pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan di Kampung Belat Batu, Beseri, Padang Besar. – KOSMO! ONLINE