TEMERLOH – Pemandu kereta Perodua Bezza yang melanggar lampu merah dan merempuh dua remaja perempuan di lampu isyarat Jalan Tengku Ismail di sini direman selama tujuh hari bermula semalam.
Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, lelaki berusia 38 tahun itu direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
“Reman terhadap pemandu dikeluarkan oleh Majistret Khamisah Ismail hingga 18 Jun ini bagi membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan masih giat dilakukan daripada segenap aspek termasuk menyoal siasat suspek.
Kosmo! hari ini melaporkan gara-gara sebuah kereta yang melanggar lampu isyarat merah menyebabkan dua remaja perempuan maut selepas mereka dirempuh kereta Perodua Bezza di lampu isyarat Jalan Tengku Ismail di sini malam semalam.
Mangsa yang maut ialah penunggang motosikal, Nur Irdina Shaffiya Muhammad Nazri, 18, dan pembonceng motosikal, Aneez Irdiena Sofya Khairul Azman,18.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, sejumlah dadah jenis syabu dan heroin turut ditemukan di dalam kereta yang dipandu lelaki berusia 38 tahun itu. – KOSMO! ONLINE