KUALA LUMPUR – Penambahan kuota import dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan bakal memberi persaingan positif kepada pemain-pemain tempatan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.
Pandangan itu disuarakan bekas pemain kebangsaan, Rezal Zambery Yahya yang menyifatkan situasi tersebut harus menaikkan lagi semangat pemain tempatan untuk terus memperbaiki diri, bukan alasan rasa tersisih.
Katanya, semua pemain tempatan perlu menyesuaikan diri dengan arus bola sepak moden yang kini memerlukan sesuatu lebih daripada bakat.
“Ini trend bola sepak sekarang. Kalau ingin terus bersaing, pemain perlu ada jati diri tinggi, sikap dan karakter yang bagus, pemikiran positif dan paling penting berusaha serta melakukan latihan konsisten.
“Kalau ini berlaku, bukan sahaja perkembangan individu akan meningkat, malah pasukan dan negara juga menerima manfaatnya sekali gus boleh memberikan kesan positif serta merta,” katanya.
Mengulas lanjut, Rezal yang mengendalikan skuad Kelantan Darul Naim (KDN FC) musim lalu mahu budaya persaingan sihat dipupuk sejak peringkat awal lagi agar pemain-pemain sentiasa bersedia apabila diberi peluang.
“Pemain tempatan perlu bangun dan sedar bahawa semua bersaing untuk mendapatkan yang terbaik buat diri mereka,” katanya.
Bulan lalu Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membenarkan semua kelab Liga M mendaftarkan 15 import dengan tujuh pemain dibenarkan beraksi dalam satu-satu masa di atas padang. – KOSMO! ONLINE