fbpx

Panggung Anniversary ‘direnjatkan’ semula, dapat lampu hijau MoF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Maimunah memaklumkan, kewujudan Panggung Anniversary akan diperkasakan dengan pelbagai program seni bermula tahun ini.

KUALA LUMPUR – Panggung Anniversary di Taman Botani Perdana bakal ‘direnjatkan’ semula kewujudannya selepas sekian lama sepi daripada sebarang persembahan sejak kebelakangan ini. 

Perkara itu dimaklumkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif yang berkata, pihaknya sedang mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kewangan menerusi satu kertas kerja. 

“Sekarang ini saya ingin membangunkan Panggung Anniversary. Nak hidupkan semula. Saya ingat dulu waktu zaman belajar, orang panggil Lake Garden tengok orang menari dan buat persembahan. 

“Pengaktifan semula Panggung Anniversary termasuk inisiatif merakyatkan lokasi ikonik itu secara terbuka buat semua orang. 

“Perkara ini sedang diusahakan pihak saya dan Kementerian Kewangan–tengah sedia kertas kerja dan nanti akan dibentangkan. Tahun ini juga saya nak juga buat beberapa program di sana (panggung),” katanya kepada Kosmo! Online semalam. 

Jelasnya lagi, sudah tiba masa Panggung Anniversary tidak terus menyepi sedangkan tempat itu adalah lokasi yang sangat menggamit memori dan memberi jasa kepada orang ramai terutama dalam perihal seni dan budaya.

“Persembahan orkestra akan dilazimkan di sana dan beri platform untuk pihak-pihak lain juga menggunakan pentas menonjolkan seni masing-masing sama seperti zaman dahulu. 

“Boleh gunakan Panggung Anniversary untuk mengadakan persembahan. Apa-apa yang berbentuk kebudayaan, warisan dan seni boleh termasuk batik, fesyen dan muzik. 

“Macam saya cakap tadi, saya tengah sediakan konsep (kertas kerja) yang diberikan lampu hijau daripada MoF (kementerian kewangan),” ujarnya lagi. 

Satu masa dahulu Panggung Anniversary hidup dan menggelegak dengan aktiviti seni budaya. 

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Istana Budaya dan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO).

Sejak tahun-tahun awal kewujudannya panggung itu  menjadi gelanggang pelbagai kegiatan seni termasuk sekitar 80-an di situlah  berhimpunnya  pemuzik dan peminat seni suara di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Istana Budaya dan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) dalam satu majlis yang disempurnakan Maimunah bertempat di Mayor Courtyard, Jalan Tangsi, Kuala Lumpur, semalam.

Kerjasama strategik ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan DBKL untuk memperkukuh sektor seni dan budaya, serta mempelbagaikan pengalaman melancong di ibu negara. 

Langkah ini juga selaras dengan inisiatif Warisan Kuala Lumpur yang bertujuan menghidupkan semula pusat bandar sebagai hab kreatif yang aktif, meriah dan penuh daya tarikan.

Melalui MoU ini, pelbagai program utama akan dilaksanakan, termasuk Festival Orkestra Kuala Lumpur (FOKL) yang mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai pusat seni dan budaya di peringkat serantau. 

Inisiatif lain yang turut dirancang adalah seperti penerbitan kalendar acara tahunan menerusi portal VisitKL dan penganjuran Festival Taman Kuala Lumpur pada Oktober 2025. 

kerjasama ini juga akan diteruskan sehingga tahun 2026 dengan pelaksanaan FOKL dalam skala yang lebih besar dan impak yang lebih meluas kepada masyarakat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI