GERIK – Pemandu bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini Isnin lalu, tiba di Mahkamah Gerik hari ini untuk pendakwaan.
Suspek berusia 39 tahun yang memakai baju T berwarna biru dan seluar jeans biru itu tiba di perkarangan mahkamah pada pukul 3.12 petang.
Lelaki terbabit dibawa ke mahkamah dalam keadaan sebelah tangan bergari dengan diiringi pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik.
Difahamkan, suspek akan menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam kejadian pada pukul 12.45 tengah malam di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding, sebuah bas persiaran membawa 42 penuntut UPSI dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki empat sekeluarga.
Kemalangan itu menyebabkan 15 pelajar UPSI terdiri daripada lima lelaki dan 10 perempuan maut manakala pemandu dan penumpang MPV cedera.
Kejadian berlaku ketika bas persiaran yang disewa khas itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke kampus UPSI di Tanjung Malim. – KOSMO! ONLINE