BESUT – Pemilik projek Laluan Rel Pantai Pantai Timur (ECRL), Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) menyantuni 15 keluarga waris mangsa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas bas di Gerik, Perak Isnin lalu.
Ahli Lembaga Pengarah MRL , Yahaya Abdullah berkata, setiap waris mangsa terkorban tersebut menerima bantuan sebanyak RM2,000.
“MRL amat bersimpati dan mengucapkan takziah terhadap semua keluarga baru kehilangan insan tersayang dalam tragedi berkenaan.
“Semoga keluarga terkesan diberi kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian berat ini,” katanya ketika menyantuni keluarga Nik Amni Nadiah Nik Nor Sabir di Kampung Paya Rawa di sini hari ini.
Beliau yang diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak menyantuni rumah keluarga 15 mangsa terbabit yang terletak daerah ini dan Setiu.
Yahaya berkata, kesemua pelajar UPSI yang terkorban dalam nahas bas persiaran terbabit menetap berhampiran jajaran ECRL di sepanjang dua daerah berkenaan.
Terdahulu, kesemua 15 mangsa itu terlibat dalam kemalangan Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Gerik sewaktu dalam perjalanan pulang ke kampus UPSI di Tanjung Malim setelah bercuti Aidiladha. – KOSMO! ONLINE