fbpx

Malaysia tuan rumah Kongres Pustakawan Asia Tenggara kali ke-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WTC Kuala Lumpur menjadi lokasi penganjuran Kongres Pustakawan Asia Tenggara (Consal) kali ke-19.

PETALING JAYA – Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Kongres Pustakawan Asia Tenggara (Consal) kali ke-19 yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Persidangan yang berlangsung selama empat hari bermula 16 Jun itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam satu kenyataan memaklumkan, penganjuran kongres itu amat signifikan kerana berlangsung selari dengan Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia.

Malah kata kenyataan itu, ia turut mencerminkan komitmen negara dalam memperkukuh jaringan kerjasama serantau yang berpaksikan kepada nilai perpaduan, ilmu pengetahuan dan pembangunan masyarakat yang inklusif.

“Dengan tema “Leveraging Inclusivity, Empowering Humanity”, persidangan ini akan menumpukan kepada peranan perpustakaan sebagai rakan strategik dalam pembangunan komuniti, pemangkin ekosistem ilmu untuk golongan terpinggir dan kurang upaya, serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dalam usaha merapatkan jurang sosial,” kata kenyataan itu hari ini.

Mengulas lanjut, KPN berkata, Kerajaan Madani komited untuk menjayakan Consal itu sebagai wadah penting dalam mempromosi perpustakaan sebagai pemacu transformasi sosial dan pemerkasaan insan, seiring dengan matlamat perpaduan nasional dan regional.

Terdahulu, Consal yang ditubuhkan pada tahun 1970 hasil inisiatif bersama pustakawan Malaysia dan Singapura, merupakan platform penting yang menghimpunkan para pustakawan, institusi perpustakaan, sekolah kepustakawanan dan profesional maklumat dari seluruh Asia Tenggara.

Keahliannya merangkumi 10 negara ASEAN termasuk Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI