PETALING JAYA – Plus Malaysia Berhad (Plus) hari ini membuka lorong tambahan di Plaza Tol Rawang Selatan (Exit 115) bagi melancarkan aliran trafik ke kawasan sekitar termasuk Gamuda Gardens dan Kundang, Rawang.
Menurut syarikat itu, lorong tambahan yang mula dibuka pada pukul 10.45 pagi itu dijangka dapat menyuraikan antara 14 hingga 19 peratus trafik sedia ada terutamanya pada waktu puncak.
“Peningkatan ini memberi impak positif bukan sahaja kepada komuniti sekitar Gamuda Gardens, tetapi juga kepada penduduk di kawasan sekitar seperti Rawang, Kundang dan Sungai Buloh serta pengguna harian Lebuhraya Utara-Selatan secara keseluruhan.” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu berkata, Plaza Tol Rawang Selatan kini mencatat hampir 29,000 jumlah kenderaan sehari.
Plus berkata, dengan penambahan tiga lorong di plaza tol itu, aliran trafik dapat diagihkan dengan lebih efisien sekali gus menjimatkan masa perjalanan, mengurangkan tekanan dan memberi lebih keselesaan kepada pengguna lebuh raya.
“Inisiatif ini direalisasikan hasil kerjasama erat antara Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia, Jabatan Kerja Raya, Plus dan Gamuda Berhad.
“Plus merakamkan penghargaan kepada semua pihak berkepentingan yang terlibat atas komitmen dan kepercayaan yang diberikan,” ujarnya.
Tambah kenyataan itu, pihaknya akan terus berusaha untuk meningkatkan pembangunan infrastruktur lebuh raya serta kemudahan fasiliti selari dengan nilai korporat Plus. – KOSMO! ONLINE