LONDON – Liverpool bakal memecahkan rekod perpindahan termahal British apabila dilaporkan kini di fasa akhir perbincangan dengan Bayer Leverkusen untuk melengkapkan urusan bernilai £114 juta (RM654.9 juta) bagi mendapatkan khidmat Florian Wirtz.
Ketika ini, perpindahan Enzo Fernandes ke Chelsea masih kekal sebagai pembelian termahal dilakukan oleh kelab British yang menelan belanja sebanyak £107 juta RM614.7 juta).
Liverpool dikatakan sudah mengemukakan bidaan rasmi dan jika ia dapat dimuktamadkan, ia juga akan mencipta rekod baharu kelab selepas perpindahan Virgil van Dijk daripada Southampton pada 2018 menelan belanja £75 juta (RM430.9 juta).
Berdasarkan laporan semasa, perbincangan kini tertumpu kepada beberapa perkara khusus termasuk nilai tambah atas setiap kejayaan yang bakal diraih Wirtz di Anfield selepas ini.
Bagaimanapun, tugas Liverpool kini turut menjurus kepada mendapatkan pembeli berpotensi supaya dapat melepaskan Darwin Nunez selepas penyerang Uruguay itu enggan berhijrah ke Arab Saudi dan mahu kekal di pentas Eropah.
Ketika ini, Neymar kekal menjadi pemain termahal dunia sewaktu melengkapkan perpindahan ke Paris Saint-Germain dari Barcelona pada 2017 bernilai £200juta (RM1.14 bilion).
Setakat ini, Liverpool sudah pun mendapatkan seorang pemain baharu dengan membawa masuk rakan sepasukan Wirtz di Leverkusen iaitu Jeremie Frimpong dengan nilai £34 juta (RM195.3 juta).
Kehadiran Wirtz sememangnya dilihat mampu membantu pengurus Liverpool, Arne Slot dalam usaha mereka untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim depan. – AGENSI