KUALA LUMPUR – Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) Berhad mencatatkan keuntungan berjumlah RM50.14 juta bagi 2024 berbanding RM45.02 juta pada 2023.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, peningkatan itu dipengaruhi oleh pertambahan jumlah keanggotaan berdaftar dengan KPDRM Berhad daripada 114,922 pada 2023 kepada 119,922 orang bagi 2024.
Menurutnya, kadar dividen KPDRM bagi 2024 adalah sebanyak 5.7 peratus atas modal yuran dan 9.2 peratus untuk modal syer (saham) dengan jumlah agihan sebanyak RM36.14 juta.
“Dividen ini mempamerkan peningkatan 0.3 peratus bagi modal yuran dan 2.2 peratus bagi modal syer berbanding dengan tahun 2023.
Sepanjang 97 tahun usia koperasi, inilah julung- julung kalinya, pemberian dividen sangat lumayan diagihkan kepada anggota KPDRM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan ke-90 Koperasi PDRM Berhad 2025, di sini, hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – KOSMO! ONLINE