KUALA LUMPUR – Kerajaan menyalurkan sumbangan pampasan kepada keluarga mangsa kemalangan membabitkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam insiden di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak, bulan lalu.
Sumbangan daripada Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Berhad itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi PDRM Berhad Kali Ke-90 yang berlangsung di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan ahli keluarga mangsa yang terlibat.
Sumbangan yang diserahkan adalah pampasan kematian di bawah Skim Takaful Berkelompok yang dicarum anggota berkenaan.
Mendiang Sarjan Perumal Sugunanathan menerima sumbangan tertinggi berjumlah RM212,500 yang disampaikan kepada isterinya.
Terdahulu, pada 13 Mei lalu, Kosmo! melaporkan sembilan anggota FRU terkorban dalam satu nahas tragis apabila trak yang membawa mereka bertembung dengan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, sekitar pukul 8.50 pagi.
Kemalangan tersebut turut menyebabkan beberapa anggota lain mengalami kecederaan serius dan insiden itu mendapat perhatian meluas serta menimbulkan kesedihan dalam kalangan masyarakat dan warga PDRM. – KOSMO! ONLINE