fbpx

Impian 5 sekeluarga mula hidup baru musnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Potret keluarga yang dirakam sebelum pesawat Air India 171 berlepas ke London.

PETALING JAYA – Impian sebuah keluarga untuk memulakan kehidupan baharu di kota London tidak kesampaian apabila kesemua mereka terkorban dalam nahas pesawat Air India yang membawa 240 penumpang semalam ketika dalam penerbangan ke destinasi itu.

Tular di media sosial sekeping gambar menyayat hati yang memaparkan pasangan suami isteri, Dr. Pratik Joshi dan Dr. Komi Vyas, bersama tiga anak mereka.

Foto itu dipercayai dirakam sebelum pesawat berlepas dan dikongsi bersama ahli keluarga sebagai simbol permulaan kehidupan baharu mereka di luar negara.

Menurut satu perkongsian di Facebook oleh Mohd. Ezairol, pasangan itu telah bertahun-tahun menguruskan pelbagai dokumen untuk berpindah dan menetap di London.

Difahamkan, Pratik telah tinggal di sana selama enam tahun, manakala isterinya dan anak-anak masih menetap di India.

“Semalam, kelima-lima mereka, penuh dengan harapan, keterujaan dan perancangan, menaiki penerbangan Air India 171 untuk ke London.

“Beg pakaian telah dibungkus rapi, ucapan selamat tinggal telah pun dilafazkan dan masa depan yang gemilang menanti mereka di tempat baru,” katanya dalam hantaran tersebut.

Isterinya yang juga seorang pengamal perubatan, difahamkan sudah bersedia untuk memulakan fasa kehidupan baharu, malah Dr. Komi telah meletak jawatan daripada tugasnya di India demi perpindahan itu.

Namun, impian mereka musnah sekelip mata apabila kelima-lima ahli keluarga itu terkorban dalam tragedi berkenaan.

Menjengah ke ruangan komen, orang ramai meluahkan rasa sedih serta mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa dan semua yang terlibat dalam insiden tragis itu.

“Kita merancang namun perancangan Allah jugalah yang terbaik mengatasi segala permulaan dan pengakhiran rancangan hidup kita. Semoga semua mangsa bersemadi dengan tenang,” kata Yati Shariff.

“Sedih tidak terkata. Wajah kelima-lima ahli keluarga tersebut sungguh gembira sebab akhirnya dapat bersama dan bina hidup yang terbaik di tempat baharu dengan anak-anak yang sungguh comel tetapi Tuhan jemput mereka berlima sekali gus,” komen Nuraseekeen.

“Daripada gambar ini saya belajar untuk menghargai dan sayangi segala yang ada sepenuh hari dan syukurilah kerana nikmat yang kita ada bila-bila masa akan ditarik Allah SWT kerana semua adalah milik-Nya,” ujar Zita Hamzah.

Semalam, sebuah pesawat milik Air India yang membawa lebih 240 penumpang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Ahmedabad ketika dalam perjalanan ke London. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI