RIYADH – Bintang muda Colombia, Jhon Duran mungkin kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas Al-Nassr dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk meminjamkannya keluar hanya beberapa bulan selepas berhijrah dari Aston Villa.
Penyerang berusia 21 tahun itu menyertai Al-Nassr dengan yuran perpindahan mencecah £65 juta (RM372 juta) selepas mempamerkan prestasi cemerlang bersama Villa dengan meledak 12 gol dalam 27 penampilan, kebanyakannya sebagai pemain gantian.
Bagaimanapun, Duran didakwa bergelut untuk menyesuaikan diri, malah aspek kehidupan peribadinya turut dikatakan memberi kesan kepada kestabilan prestasi dan emosinya di kelab Arab Saudi tu.
Media-media melaporkan Duran mengalami tekanan kerana tidak dapat tinggal bersama teman wanitanya, Angela Capella ekoran undang-undang Islam di Saudi yang melarang pasangan bukan suami isteri tinggal serumah.
Duran juga dikatakan pernah menyuarakan hasrat untuk menetap di Bahrain dan berulang-alik ke kelab setiap hari bagi membolehkannya tinggal bersama kekasihnya iaitu sesuatu yang disangkal sepenuhnya oleh kelab.
“Kami semua tahu apa itu berita palsu, tapi ini betul-betul lucu dan melampau. Jhon sangat menyukai Riyadh. Rumahnya dekat dengan kelab dan stadium. Dia kini sebahagian daripada keluarga kami” kata Al-Nassr dalam kenyataan rasmi.
Meskipun menjaringkan 12 gol dalam 18 aksi bersama Al-Nassr, masa depan Duran kekal menjadi tanda tanya dan beberapa kelab EPL termasuk Chelsea, Arsenal serta Manchester United dikatakan berminat sekiranya dia kembali ke England. – AGENSI