LIPIS – Hasrat lapan sekeluarga dari Klang untuk menziarahi ibu saudara yang sedang sakit di Kota Bharu bertukar tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas kereta dinaiki terlibat dalam nahas di Kilometer 37, Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) dekat Kampung Chegar Perah di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Roslawati Mat Daud, 50, iaitu isteri kepada pemandu kereta, serta Aqif Azfar Azman, 6, anak kepada penumpang hadapan.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, kereta Proton Persona dinaiki keluarga itu dalam perjalanan dari Klang menuju ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan bagi menziarahi ibu saudara mereka yang sedang uzur.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah lori yang membawa muatan perabot dari Melaka ke Ketereh, Kelantan telah berhenti di susur jalan kerana pemandunya mahu membuang air kecil.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta berusia 45 tahun itu hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang lori tersebut,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kanak-kanak lelaki berkenaan yang maut dipercayai berada di pangkuan bapanya di tempat duduk penumpang hadapan ketika pelanggaran berlaku.
“Akibat hentaman kuat, kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu dan lima lagi ahli keluarga yang turut berada dalam kereta tersebut mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut.
“Pemandu dan kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINIE