BATU PAHAT – Dua maut manakala seorang lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga treler di Kilometer 81.9 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan) pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian pukul 8.30 pagi itu meragut nyawa pemandu treler yang membawa muatan barangan elektronik R. Pubalan, 45, serta kelindannya R. Sivasanthiran,35.
Katanya, pemandu treler yang berusia 37 tahun dan membawa muatan kayu mengalami kecederaan di kaki dan dada kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika ketiga-tiga buah treler berkenaan dalam perjalanan arah yang sama menuju ke Johor Bahru sebelum kenderaan dipandu mangsa merempuh belakang treler membawa muatan kayu itu.
“Pemandu treler yang membawa muatan kayu itu kemudiannya merempuh belakang sebuah lagi treler dengan muatan minyak yang berada dihadapkannya dan dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Shahrulanuar lagi, akibat kejadian itu, Pubalan dan Sivasanthiran mengalami kecederaan parah selepas tersepit di tempat duduk masing-masing sebelum disahkan meninggal di lokasi kejadian.
Ujarnya, pemandu treler muatan minyak bagaimana pun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Pengguna jalan yang menyaksikan kejadian boleh menyalurkan maklumat dimana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE