SUBANG JAYA – Orang ramai diminta membantu mengesan dua remaja perempuan yang dilaporkan hilang di sekitar daerah ini sejak minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, orang hilang (OH) pertama bernama Nurul Nabila Syuhada Karim berusia 20 tahun.
Katanya, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa pada pukul 1.22 tengah hari, pada 7 Jun lalu.
“Nurul Nabila Syuhada kali terakhir berada di alamat LOT 1041 Lorong Bistari 3 Kampung Pulas Luar, Puchong pada hari yang sama kira-kira pukul 9 pagi.
“Mangsa berketinggian 153 sentimeter (cm) dengan berat 100 kilogram (kg). Kulit berwarna hitam manis, hidung lebar, mata hitam dan mempunyai mulut besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Wan Azlan berkata, seorang lagi orang hilang bernama Rabiah Busuri berusia 16 tahun dan merupakan warga Myanmar.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan pada Isnin lalu kira-kira pukul 4.29 petang.
“Kali terakhir mangsa berada di rumah beralamat SA 50, Lorong 2, Kampung Tengah Batu 13, Jalan Klang, Puchong pada Ahad, kira-kira pukul 10 malam.
“Rabiah berketinggian 150 cm dengan berat 35 kg. Kulit berwarna putih, mata berwarna coklat, mempunyai rambut yang panjang serta bibir mulut nipis serta hidung kecil,” katanya.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kedua-dua mangsa diminta tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung dengan bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-78627222 atau 03-78627100. – KOSMO! ONLINE