TEMERLOH – Hajat dua sahabat untuk bercuti ke Dabong bersama rakan-rakan lain tidak kesampaian selepas kedua-duanya maut setelah motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Jalan Tengku Ismail di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa, Nur Irdina Shaffiya Muhammad Nazri dan rakannya Aneez Irdiena Sofya Khairul Azman masing-masing berusia 18 tahun dilaporkan dalam perjalanan pulang selepas keluar minum bersama.
Menurut ibu Nur Irdina, Yusnani Mohd. Yusof, 46, anak keduanya keluar rumah kira-kira pukul 10.30 malam selepas bekerja sambilan menjual minyak wangi di Semantan Walk dan merancang untuk bertemu rakan-rakan di sebuah bistro di bandar ini.
“ Malam tadi (semalam) dia beria tanya boleh tak ikut ‘trip’ ke Dabong naik kereta api selepas subuh. Saya izinkan, dia nampak sangat teruja. Tak sangka, itu izin terakhir saya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini semalam.
Yusnani berkata, arwah seorang anak yang pendiam, ringan tulang serta disenangi rakan-rakan.
Sementara itu, bapa mangsa, Muhammad Nazri Abdul Majid, 49, berkata, perbualan ringkas mereka pada petang Rabu menjadi kenangan terakhir antara ayah dan anak.
“Saya reda dengan ketentuan Allah, namun sebagai bapa saya harap pemandu terlibat bertanggungjawab, setakat ini kami belum bercadang ambil tindakan undang-undang. Kami serah kepada pihak berkuasa,”katanya.
Jenazah Nur Irdina Shaffiya disolatkan di Masjid Temerloh Jaya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tualang semalam.
Sementara itu ibu kepada Aneez Irdiena Sofya, Siti Asmaq Wan Abdul Kadir, 40, berkata, anaknya sudah mendaftar mengikuti pengajian Diploma Pengurusan Sukan di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) dan dijadual melapor diri hujung bulan ini.
“Malam kejadian, dia minta izin nak keluar makan dan kemudian ikut ‘trip’ ke Dabong. Saya benarkan, dia teringin nak makan ikan patin tetapi kedai kegemarannya tutup. Saya janji akan masakkan bila dia balik dari Dabong, tidak sangka itu janji terakhir,” katanya.
Jenazah Aneez Irdiena Sofya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Damar, Lanchang semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, semasa kejadian kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz dalam perjalanan dari arah Mentakab menghala ke arah bulatan Bukit Angin di sini.
“Apabila sampai di tempat kejadian mangsa telah berhenti kerana lampu isyarat merah manakala kereta yang dipandu lelaki berusia 38 tahun tidak berhenti di lampu isyarat dan melanggar belakang motosikal dinaiki mangsa.
“Akibat kejadian penunggang dan pembonceng motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,”katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
















