PETALING JAYA – Seorang selebriti terkenal yang terlibat dengan kes amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun akan dituduh di mahkamah, Selasa depan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, arahan tuduh ke atas suspek telah diperolehi daripada Pejabat Pendakwaraya Selangor.
Beliau berkata, suspek akan dituduh di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa.
“Pertuduhan akan dibuat pada Selasa depan (17 Jun) di Mahkamah Putrajaya.
“Polis Diraja Malaysia komited dalam memastikan keadilan ditegakkan dan siastan dijalankan dengan teliti bagi melindungi hak mangsa serta menjamin ketelusan proses perundangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan selebriti terkenal yang ditahan berhubung kes amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun baru-baru ini didakwa baru kali pertama membawa mangsa ke hotel.
Maklumat tersebut diperoleh selepas polis menjalankan soal siasat ke atas lelaki tersebut.
Suspek dan mangsa yang juga pelajar berkenalan kira-kira dua bulan lalu.
Terdahulu, selebriti itu ditahan pada 3 Jun lalu selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor.
Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangannya. – KOSMO! ONLINE