PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel yang melancarkan serangan ke atas Iran sehingga mengorbankan beberapa pemimpin kanan negara itu.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Anwar menyifatkan tindakan tersebut sebagai perbuatan yang melulu dan berbahaya serta boleh menjejaskan kestabilan rantau yang sudah pun rapuh.
“Ini adalah tindakan yang sangat serius dan cuai, berpotensi memburukkan lagi ketidakstabilan di rantau yang sedia rapuh. Tindakan ini jelas bertujuan menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung antara Amerika Syarikat dan Iran.
“Ia juga berlaku ketika Israel sedang berdepan penelitian semula terhadap tindakannya di Gaza dan tekanan politik yang semakin meningkat ke atas (Perdana Menteri) Benjamin Netanyahu,” katanya hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru negara-negara bersekutu Israel, khususnya yang mempunyai pengaruh besar agar menggunakan tekanan maksimum untuk menghentikan sebarang tindakan agresif selanjutnya.
“Masyarakat antarabangsa tidak seharusnya membiarkan tindakan yang menggugat diplomasi dan mengancam keamanan dunia ini berterusan,” ujarnya.
Terdahulu, Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, memberi amaran Israel akan menghadapi akibat yang amat berat susulan serangan maut yang dilancarkan ke atas republik Islam itu awal pagi tadi.
Angkatan Tentera Iran juga berikrar akan beri tindak balas yang keras terhadap serangan Israel, dengan pasukan pertahanan udara bersedia 100 peratus susulan serangan Israel ke atas Iran awal pagi Jumaat. – KOSMO! ONLINE