LANGKAWI – Seorang lelaki warga emas melecur tahap satu apabila sebuah warung terbakar dalam kejadian di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Kifli Hamid, berkata, insiden tersebut berlaku di sebuah warung di Jalan Hujung Penarak, Kuah, di sini pada pukul 9.58 pagi tadi.
“Kebakaran berlaku di bahagian dapur memasak binaan separa kekal melibatkan alat perkakas dapur dan gas LPG.
“Peratus kebakaran dianggarkan 35 peratus dan seorang mangsa melecur tahap satu pada kaki,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya lagi, mangsa seorang lelaki berusia 66 tahun telah dikejarkan Hospital Sultanah Maliha (HSM) dengan jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).
Operasi yang tamat pada pukul 10.42 pagi tadi melibatkan 12 anggota serta satu jentera FRT K1-29, satu jentera EMRS K2-13 dan sebuah jentera utiliti Triton.- KOSMO! ONLINE