fbpx
DATA global menunjukkan negara yang menguatkuasakan peraturan tali pinggang keledar bas secara tegas mempunyai kadar kematian kemalangan jauh lebih rendah. – GAMBAR HIASAN

Wajibkan penumpang bas pakai tali pinggang keledar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Kerajaan digesa mewajibkan pemasangan dan pemakaian tali pinggang keledar di tempat duduk penumpang semua kenderaan awam termasuk bas bagi mengelakkan impak kemalangan lebih teruk sehingga boleh menyebabkan kematian.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Law Teik Hua berkata, ­pemasangan tali pinggang keledar itu penting kerana ia mampu menghalang penumpang daripada tercampak keluar atau mengalami kecederaan teruk ketika kemalangan.

“Satu aspek penting tetapi sering diabaikan dalam keselamatan bas ialah pemakaian tali pinggang keledar oleh pemandu dan penumpang.

“Malaysia mempunyai undang-undang berhubung tali pinggang keledar dalam kereta persendirian, namun banyak bas terutama yang lama tidak dilengkapi tali pinggang atau sekiranya ada penumpang tidak menggunakannya,” katanya semalam.

Menurut Teik Hua, data global menunjukkan bahawa negara yang menguatkuasakan peraturan tali pinggang keledar bas secara tegas mempunyai kadar kematian kemalangan yang jauh lebih rendah.

 

Prof. Law Teik Hua

Dalam pada itu katanya, dalam jangka panjang, kerajaan perlu merombak peraturan ke­selamatan jalan raya dan me­ngetatkan syarat lesen pemandu bas serta melabur dalam laluan alternatif untuk mengurangkan kesesakan di laluan berbahaya.

Katanya, penguatkuasaan yang lebih tegas melalui pemeriksaan rawak di jalan raya, penggunaan sistem log elektronik untuk merekod jam kerja pemandu, serta hukuman berat untuk pe­langgaran boleh membantu me­ngurangkan kecuaian.

Tambahnya, salah satu kebimbangan utama ialah perjalanan malam yang panjang di lebuh raya yang berliku seperti di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik.

Katanya keletihan, penglihatan terhad dan kesilapan pemandu boleh membawa padah, terutamanya apabila pengendali lebih mengutamakan jadual perjalanan daripada keselamatan.

“Bas sewa khas yang membawa ramai penumpang seharusnya tertakluk kepada peraturan yang lebih ketat termasuk rehat wajib, pemantauan pemandu secara masa nyata dan pemeriksaan kenderaan sebelum perjalanan.

“Namun penguatkuasaan semasa musim perayaan sering longgar membolehkan sesete­ngah pengendali mengabaikan protokol keselamatan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Jalan Raya Timur Barat, Gerik beliau berkata, kajian ke­selamatan yang telus dan menyeluruh perlu dilakukan segera di salah satu laluan paling berbahaya di Malaysia itu.

Jelasnya, reka bentuk jalan yang tidak mesra pengguna, pencahayaan yang tidak mencukupi, dan kurang papan tanda amaran mewujudkan suasana yang be­risiko tinggi terutama bagi kenderaan besar terutama di waktu malam.

“Jalan raya itu telah lama dikenali dengan selekoh tajam, cerun curam, dan kehadiran haiwan liar yang tidak dijangka menjadikannya lokasi banyak kemalangan sejak bertahun-tahun.

“Namun, sehingga kini kita masih kekurangan pembaharuan keselamatan yang menyeluruh. Tanpa langkah-langkah kritikal ini, kita berisiko menyaksikan tragedi serupa berulang kembali,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN