GEORGE TOWN – Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mengambil pekerja asing warga Myanmar tanpa pas yang sah, bulan lalu.
Tan Kah Harn, 38, yang merupakan pemilik perniagaan berasaskan peladangan dan pertanian bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan berasingan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah mengambil enam orang pekerja warga Myanmar berusia 22 hingga 43 tahun yang tidak memiliki pas yang sah di sebuah premis di West Jelutong, Jelutong di sini, kira-kira pukul 1.30 tengah hari, 29 Mei lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh di lokasi dan waktu sama didakwa telah membenarkan seorang warga Myanmar yang tidak miliki pas sah untuk masuk atau tinggal di premis tersebut.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad menawarkan wang jaminan berjumlah RM15,000 bagi pertuduhan pertama manakala wang jaminan RM5,000 ditawarkan bagi pertuduhan kedua.
Kemudian, peguam yang mewakili tertuduh, K.Mahendran memohon kepada mahkamah agar wang jaminan dikurangkan memandangkan anak guamnya mempunyai keluarga untuk ditanggung.
“Anak guam saya telah berkahwin, mempunyai dua orang anak dan perlu menjaga ibu bapa yang uzur, malah anak guam saya juga telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis selepas dia dibebaskan dengan jaminan pada 3 Jun lalu,” katanya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM13,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 15 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. -KOSMO! ONLINE