PUTRAJAYA- Kementerian Luar memaklumkan bahawa tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden nahas pesawat Air India penerbangan AI171 yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Ahmedabad, India hari ini.
Menurut kenyataan Wisma Putra, menerusi Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai, pihaknya kini sedang memantau rapat perkembangan kejadian berkenaan.
Katanya, kejadian itu berlaku ketika pesawat jenis Boeing 787 itu dalam perjalanan dari Ahmedabad ke Lapangan Terbang Gatwick, United Kingdom.
“Pesawat tersebut dilaporkan membawa kira-kira 242 penumpang, namun hasil semakan yang dilakukan Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai mengesahkan bahawa tiada warga Malaysia berada dalam senarai penumpang mahupun anak kapal,” katanya hari ini.
Kementerian Luar turut memberi jaminan bahawa pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa dan sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan kepada orang ramai sekiranya perlu. – KOSMO! ONLINE.