KUALA LUMPUR – Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky percaya tiada lagi rahsia berhubung taktik setiap pasukan menjelang temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA 2028).
Ia berikutan setiap pasukan, terutamanya kuasa besar badminton dunia mula melakukan analisis terhadap kekuatan lawan masing-masing dengan masa berbaki lebih kurang tiga tahun lagi sebelum LA 2028 membuka tirai.
Beliau memberi amaran supaya barisan pemain negara tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian sedia ada kerana ia mampu mengundang bahaya selain membuka ruang buat lawan mengambil kesempatan.
“Negara lain boleh membaca (taktik), kita juga boleh membaca tetapi rasa puas hati akan membuatkan kita jatuh. Sekiranya rasa belum cukup, itu yang akan membuatkan kita terus bekerja keras,” katanya.
Tambah pengendali dari Indonesia itu, barisan kejurulatihan di ABM sentiasa memantau perkembangan setiap pemain secara konsisten dan tidak hanya mengharapkan prestasi di kejohanan semata-mata.
Dalam perkembangan lain, dua beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun sudah menyertai program Road to Gold (RTG) yang akan membantu mereka melakukan persiapan ke ara LA 2028.
Turut berada dalam program elit berkenaan adalah beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah serta beregu campuran No. 4 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Menurut Rexy, program RTG bukanlah untuk kepentingan BAM semata-mata kerana ia adalah satu program diwujudkan bagi membantu Malaysia meraih pingat emas pertama Sukan Olimpik.
“RTG sudah bermula lebih awal berbanding negara lain dan ia bukanlah untuk BAM tetapi demi Malaysia. Pingat emas (Olimpik) itu adalah untuk negara ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE