BANGI – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan satu atau dua individu bakal dituduh di mahkamah dalam masa terdekat, berkait kes skandal rasuah melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah berhubung isu perlesenan lombong mineral.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, beliau akan membuat pengumuman berkenaan kes itu tidak lama lagi.
“Dalam tempoh terdekat ini, akan ada seorang atau dua dituduh di mahkamah. Mungkin mereka dituduh dahulu dan saya akan buat pengumuman nanti,” katanya ringkas pada sidang akhbar Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-Undang Bertauliah Sprm Kali Ke-2 Tahun 2025 di sini hari ini.
Media melaporkan, SPRM telah melengkapkan kertas siasatan berkait klip video didakwa skandal rasuah melibatkan beberapa ADUN Sabah berhubung isu perlesenan lombong mineral.
Sumber dipetik berkata, kertas siasatan itu telah dihantar kepada pihak pendakwaan untuk diteliti, selain ada kemungkinan pendakwaan akan dilakukan terhadap beberapa individu dalam tempoh terdekat.
Baru-baru ini, tular beberapa rakaman video yang didakwa menunjukkan perbualan berkaitan rasuah antara individu tertentu dan beberapa wakil rakyat Sabah berhubung isu pelesenan mineral di negeri itu. – KOSMO! ONLINE