fbpx
Ikan patin buah Sungai Perak.

‘Pujuk’ patin Sungai Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dewasa ini semakin sukar memancing ikan patin di habitat semula jadinya. Kebanyakan pemancing akan menduga kolam-kolam berbayar untuk merasai tarikan ikan patin. Apabila diberitakan Sungai Perak di Teluk Intan ada perkhidmatan bot memancing, peluang ini tidak saya lepaskan.
Pekan Teluk Intan, Perak tidak begitu jauh dari Kuala Lumpur dan ditambah pula dengan bot-bot pancing yang ditawarkan, ini menjadikannya sebagai salah satu destinasi kegemaran saya untuk memancing.
Pengalaman saya sebelum ini dalam pencarian ikan patin di Sungai Perak kebanyakannya diakhiri dengan kekecewaan. Umpan dan teknik yang salah menyebabkan dalam beberapa tahun ini, saya hanya sekali dua pernah menaikkan ikan patin di sini.
Isi ikan patin di sini juga kurang kandungan lemak, sekali gus menja­dikan dagingnya lebih pejal dan kurang muak.
Harga ikan patin yang dijual di pasar-pasar sekitar masih lagi murah jika dibandingkan dengan ikan patin dari Sungai Pahang.
Umpan
Setelah berkali-kali ‘diracuni’ oleh Sahril atau mesra dipanggil Yop, saya mengambil keputusan untuk menem­pah bot demi mendalami ilmu pancingan patin di tempatnya.
Antara ilmu yang saya pelajari adalah lubuk ikan patinnya yang berada tidak jauh dari tebing, tetapi dalam. Ikan patin di sini lebih tertumpu di laluan arus sungai kerana ada makanan hanyut seperti buah-buahan dan serangga.
Ia juga gemar berada di kawasan yang mempunyai struktur di dasar seperti tunggul kayu ataupun pokok tumbang di sesetengah lokasi.
Ekor patin yang tidak runcing menunjukkan ia mungkin terlepas dari sangkar.
Buah berembang adalah umpan yang sangat berkesan. Ini terbukti ketika menyiang ikan patin yang ditangkap di sini. Saya dapati perut ikan-ikan ini dipenuhi dengan buah itu sahaja.
Biasanya, saya menempah buah ini daripada Yop yang menjualnya pada harga berpatutan. Anda juga boleh mencari sendiri di pokok-pokok berembang yang berada di tebing sungai. Namun, saya merasakan agak sukar untuk mencarinya kerana ia juga merupakan makanan haiwan-haiwan lain di sini terutamanya kera. Jika ada pun, ia belum tentu cukup ranum atau berada pada ketinggian yang sukar dicapai.
Buah berembang ranum mempunyai bau harum yang kuat.
Akan tetapi, jika terlebih ranum, ia sangat lembik dan sukar untuk disangkut pada mata kail. Justeru itu, buah yang paling sesuai untuk dijadikan umpan adalah yang masih berkulit keras, walaupun bahagian dalamnya telah masak sepenuhnya.
Kulit keras ini akan menjadikan buah itu lebih tahan lama melekat pada mata kail, walaupun ia berada di arus deras. Di sesetengah tempat, ia dibalut dengan kain kasa (gauze) bagi memastikan buah lekat di mata kail. Namun, cara ini tidak digalakkan untuk digunakan kerana ikan patin agak culas.
Buah akan dipotong kepada empat bahagian dan ditusuk dengan mata kail jenis chinu saiz 20. Tali utama akan disambungkan pada perambut jenis ‘T’ dengan hujung pertama diikat mata kail dan hujung satu lagi dipasang batu ladung saiz 5 ke atas.
Panjang perambut ‘T’ dari mata kail ke batu ladung dianggarkan sepanjang satu depa. Ini menjadi­kan kedudukan umpan tergantung sedikit dari dasar sungai.
Selain buah berembang, saya juga pernah mencuba umpan-umpan lain seperti udang kopek dan perut ayam. Ia laku terutama ketika memancing di kawasan sangkar ikan.
Perlawanan dengan ikan patin di habitat liar sentiasa padu.
Namun, umpan ini akan menarik perhatian ikan duri yang sememangnya banyak di kawasan itu.
Manakala umpan seperti buah lakom dan sawit boleh digunakan walaupun tidak seefektif buah berembang kerana ia kerap dikacau ikan-ikan kecil spesies lain.
Kondisi air
Oleh kerana Teluk Intan berada tidak jauh dari laut, maka keadaan air pasang surut masih memberikan kesan yang besar terhadap pergerakan arus sungai.
Saya akan memilih untuk memancing ketika air laut mati kerana arus sungai mengalir lebih perlahan dan memudahkan saya untuk parkir bot. Hujan yang turun juga dapat memberi kesan dalam kepekatan kandungan garam di dalam air sungai. Kadar air yang mempunyai kemasinan rendah sangat ideal untuk memancing ikan patin.
Ketika musim kemarau, apabila paras air sungai rendah dan kadar kemasinan air sangat tinggi, ikan patin akan mudik ke hulu, di kawasan yang airnya lebih tawar. Manakala hujan yang berterusan pula menja­dikan air sungai keruh dan sejuk, sekali gus menyebabkan ikan ini lebih pasif untuk mengambil umpan.
Justeru, waktu yang paling sesuai untuk mencari ikan patin di sini adalah selepas hari hujan yang diikuti dengan hari cerah. Ini menjadikan keadaan air sungai tidak terlampau keruh.
Menurut Yop, dia memilih untuk memancing ketika air laut sedang pasang. Dia juga menambah bahawa ikan patin di sini lebih aktif pada waktu awal pagi dan lewat petang.
Pengalaman
Ketika ikan patin mula menggetu umpan, kelihatan hujung joran akan bergetar seperti diusik oleh ikan bersaiz kecil kerana ia sedang memamah buah berembang sebelum menelan sepenuhnya.
Saya akan terus memegang joran dan menegangkan tali secara perlahan-lahan. Saya hanya perlu menunggu tarikan menjadi semakin berat barulah joran akan disembat. Kebiasaannya, ikan patin akan berenang melawan arus sungai dan mendekati bot.
Perlawanan yang sebenar bermula apabila ia berada berhampiran dengan bot. Kebiasaannya, saya akan melonggarkan drag dan membuatkan ia letih bertarung di sekitar bot. Sila jangan memaksa untuk mendaratkan ikan dengan cepat kerana mulutnya senang rabit.
Bot sewa
Saya telah mencuba dua jenis bot yang disediakan oleh River Cruise Teluk Intan iaitu yang pertama, bot fiber bersaiz 13.5 kaki yang bernadikan enjin Mercury 15 kuasa kuda. Walaupun bot ini boleh memuatkan tiga orang, namun saya mengesyorkan untuk naik berdua sahaja untuk keselesaan.
Oleh kerana lubuk patin berada di laluan arus sungai, memarkir bot bukan perkara yang mudah. Arus sungai yang deras dan dipenuhi dengan gerombolan pokok kiambang  hanyut menjadikannya lebih bahaya. Pengendalian yang cekap diperlukan untuk memastikan bot berada di labuhan betul.
Selain itu, saya pernah mencuba bot besar yang boleh memuatkan lapan orang pemancing. Bot ini dilengkapi dengan tandas dan tempat duduk selesa bagi mereka yang ingin memancing bersama keluarga dan rakan-rakan. Kedua-dua jenis bot ada kelebihan dan kelemahannya sendiri.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN