SELEPAS diberikan nafas baharu dengan corak permainan ala-ala Eropah, Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 bakal menjadi medan paling sesuai buat kelab Mexico, Monterrey untuk menguji taktikal tersebut.
Corak permainan berpaksikan penguasaan bola diterapkan ketua jurulatih, Domenec Torrent dijangka mampu membantu skuad Rayados untuk memberikan saingan dalam Kumpulan E yang turut dibarisi Inter Milan, River Plate dan Urawa Red Diamonds.
Sejarah Torrent yang pernah berada di bawah ‘payung’ Pep Guardiola ketika bersama Barcelona, Bayern Munich dan Manchester City dianggap mampu membantu beliau membawa Monterrey melangkah jauh.
Torrent menegaskan, beliau tidak akan mengamalkan corak permainan bertahan, sebaliknya sedia menampilkan aksi menyerang meskipun dijangka berdepan kesukaran dengan pasukan-pasukan seperti Inter dan River Plate.
“Amat penting untuk kami menunjukkan kemampuan yang dimiliki kepada seluruh dunia. Bagi saya, pemain-pemain memainkan peranan cukup penting dalam memastikan pasukan menampilkan aksi seperti diharapkan.
“Jurulatih hanya menerapkan falsafah ke dalam pasukan, yang melaksanakan tanggungjawab tersebut adalah mereka (pemain). Jadi, saya perlu membuat keputusan terbaik bagi memilih kesebelasan utama,” katanya.
Sementara itu, Monterrey juga mendapat sedikit pengalaman bola sepak Eropah menerusi kapten mereka yang juga legenda Real Madrid dan Sepanyol, Sergio Ramos selain Sergio Canales, Oliver Torres serta Lucas Ocampos.
Justeru, Torrent melaungkan amaran kepada pasukan-pasukan pencabar lain mereka tidak akan memberikan laluan mudah memandangkan Monterrey turut memiliki impian untuk melangkah jauh pada edisi kali ini.
“Kami akan turun dengan misi menguasai permainan, bukannya berkampung dalam kawasan sendiri dan mengharapkan serangan balas pantas. Mengapa kami perlu melakukan 40 hantaran ke belakang, sedangkan serangan boleh dilakukan dengan tiga hantaran.
“Kehadiran beberapa pemain ternama Eropah seperti Sergio Ramos dan Sergio Canales memberi kelebihan kepada kami dari segi pengalaman. Mereka juga memiliki kemahiran teknikal yang cukup tinggi,” ujarnya.
INFO
KUMPULAN E
MONTERREY
Negara: Mexico (Liga MX)
Nama gelaran: Rayados
Jurulatih: Domenec Torrent
Kapten: Sergio Ramos
Pemain tumpuan: Sergio Canales