PUTRAJAYA- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang merangka pelan jangka panjang bagi memastikan bekalan makanan negara tidak terjejas meskipun berdepan ancaman iklim ekstrem.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia termasuk melihat cadangan bagi memperluaskan pengeluaran hasil pertanian ke kawasan yang lebih stabil iklimnya seperti Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, kebergantungan kepada satu lokasi tanaman sahaja tidak lagi relevan, justeru kementerian kini menyesuaikan jadual penanaman mengikut ramalan cuaca serta memantau serangan penyakit secara berterusan.
“Usaha ini penting bagi memastikan bekalan makanan negara tidak terjejas meskipun berdepan ancaman iklim ekstrem.
“Sebab itu bagi pelan jangka jangka, bagi bekalan beras misalnya kita kena bergantung kepada tanaman di Sabah dan Sarawak pada masa akan datang sebab kita tahu ancaman iklim dan sebagainya.
“Keadaan iklim di Sabah dan Sarawak sedikit berlainan jika dibandingkan dengan Semenanjung dan begitu juga di pantai timur dan pantai barat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Prapelancaran Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas persediaan kementerian mengenai keterjaminan bekalan makanan menjelang peralihan Monsun Barat Daya bermula 10 Mei lalu hingga September depan.
Katanya, jadual penanaman padi turut diselaraskan mengikut ramalan cuaca semasa bagi memastikan hasil pertanian kekal stabil. – KOSMO! ONLINE