fbpx

Nahas UPSI: Sejadah, lampu meja dan lanyard hadiah terakhir Allahyarham Fakhrul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD FIKRI (kiri), Akmal Danial (tengah) dan Muhammad Izhar (kanan) memegang hadiah pemberian Allahyarham Fakhrul Arif ketika ditemui di Kolej Harun Aminurrashid, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim hari ini.

TANJUNG MALIM – Sejadah, lampu meja dan lanyard pemberian Allahyarham Fakhrul Arif Rosdi yang terkorban dalam nahas bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik Isnin lalu pasti tidak akan dilupakan rakan-rakan serumahnya.

Muhammad Fikri Abdul Halim, 20, berkata, Allahyarham Fakhrul merupakan seorang pelajar yang rajin belajar selain aktif dalam aktiviti kolej kediaman dan universiti.

“Arwah seorang yang gemar menghadiahkan barangan kepada rakan-rakan serumahnya walaupun nilainya tidak seberapa dengan ikhlas.

“Tidak sangka pemberian sejadah, lampu meja dan lanyard (tali penyandang) kepada saya dan dua rakan masing-masing menjadi pemberian terakhir arwah kepada kami,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Kolej Harun Aminurrashid, UPSI Kampus Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Katanya, arwah juga seorang yang gemar memasak nasi goreng kicap untuk dimakan bersama 11 rakan serumah yang lain.

“Biasanya, kami serumah akan makan malam bersama dan arwah akan memasak nasi goreng kicap dengan bahan ringkas termasuk ikan bilis serta telur.

“Rasanya sedap dan mengenyangkan. Pelajar universiti perlu berjimat dengan masak di rumah berbanding kerap makan di restoran atau kafe di luar,” katanya.

Bagi Akmal Danial Rozman, 20, beliau tidak dapat melupakan kelakuan agak pelik arwah sebelum pulang menyambut Hari Raya Aidiladha yang lalu.

“Agak berlainan. Kebiasaannya Fakhrul (Allahyarham) teruja dan tidak sabar-sabar untuk pulang tetapi kali ini, beliau banyak bersembang-sembang dengan kami agak lama.

“Malah, perbualannya agak serius dan menjurus kepada masa depan tetapi tidaklah pula arwah mengatakan ini pertemuan terakhir,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI