BESUT – Kehilangan Fakhrul Arif Rosdi, 20, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan tragis di Gerik, Perak pada Isnin lalu memberi kesan mendalam buat adik bongsunya, Nurul Effa Shahira.
Biarpun sudah empat hari berlalu, Nurul Effa Shahira, 16, yang masih diselubungi rasa terkilan kerana wang saku RM21 pemberian arwah abangnya tercicir kerap mengunjungi pusara Fakhrul Arif bagi melepaskan rindu.
“Arwah abang tidak pernah beri duit belanja sebelum ini. Pada mulanya, saya mahu guna duit itu untuk membeli makanan dijadikan bekal dalam bas tetapi tercicir sewaktu mahu memasuki kereta untuk ke kedai,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Pasir Akar, Hulu Besut di sini hari ini.
Nurul Effa Shahira berkata, walaupun suka mengusik, sebagai adik bongsu, arwah Fakhrul Arif berubah sikap menjadi pendiam sepanjang cuti Aidiladha.
“Abang juga tidak mahu membawa bekal untuk pulang ke kampus seperti kebiasaan. Sebab itu saya mahu menggunakan wang itu untuk membeli bekal.
“Walaupun begitu, dia sempat merancang sambutan ulang tahun kelahiran abang sulung (Saiful Azri) yang ke-26 sebelum pulang ke kampus,” katanya.
Nurul Effa Shahira berkata, sambutan itu amat beerti kerana abang sulung mereka yang menetap di Sungai Bakap, Pulau Pinang jarang pulang ke kampung halaman. – KOSMO! ONLINE