Setiap yang bergelar Muslim pasti mengimpikan al-Quran menjadi peneman diri di dalam kubur, namun bagi sesetengah insan bertuah di hujung hayatnya lagi kitab suci pemberi syafaat itu sudah menunjukkan ‘kesudian’ berdampingan.
‘Khatimah’ yang dicemburui, kisah pemergian Nurly Shahirah Azman, 23, yang dijemput ajal dalam keadaan memeluk al-Quran seputar tragedi kemalangan berdarah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi Isnin lalu menggetar banyak sanubari.
Dalam tragedi ngeri yang menggemparkan negara, seramai 15 pelajar UPSI terkorban apabila bas yang membawa mereka terbabas di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Gerik, Perak.
Kemalangan membabitkan bas yang dalam perjalanan ke UPSI dari Jerteh, Terengganu dengan sebuah Perodua Alza pada kira-kira pukul 1.10 pagi.
Nurly bukan sahaja pelajar Pendidikan Khas UPSI, malah seorang hafizah al-Quran yang telah menghafaz 30 juzuk. Abangnya bercerita bahawa adiknya itu seorang yang amat mencintai al-Quran. Sejak remaja, arwah telah menghafaz 30 juzuk al-Quran dan istiqamah mengulang bacaan setiap hari.
Lebih daripada itu, arwah juga menyalin al-Quran secara tulisan tangan (tahriri) yakni satu bentuk penghayatan dan latihan hafazan sekali gus menggambarkan betapa mujahadahnya arwah dalam kecintaan kepada kalamullah.
Namun, kisah Nurly juga ada persamaan dengan beberapa tragedi melibatkan pencinta al-Quran yang mati dalam penuh kemuliaan sedemikian.
Januari lalu media melaporkan seorang pelajar tahfiz maut dalam kebakaran di Asrama Putra Pondok Pesantren DDI Mambaul Ulum Addariah, Sulawesi Selatan. Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa terkorban, Muhammad Zahwa, 14, ditemui sedang memeluk senaskhah al-Quran.
Terdahulu, seorang gadis menjadi inspirasi di Indonesia apabila ditemui jasadnya yang memeluk al-Quran dalam kebakaran besar di Gayo Lues, Aceh pada Mac 2023. Kebakaran itu menghanguskan 9 unit rumah di Desa Pining Induk, Kecamatan Pining, Kabupaten Gayo Lues.
Dalam kejadian tersebut, Putri Handayani, 15, menjadi korban dalam peristiwa kebakaran di bulan Ramadan itu. Jasad arwah ditemukan sambil memeluk al-Quran.
Putri Handayani semasa hayatnya sering membaca al-Quran bahkan sebelum tidur selalu membiasakan menghafaz al-Quran. Yang menakjubkan, al-Quran yang dipeluk ditemukan hanya terbakar sebahagian sudut saja.
Jika disorot lebih jauh, pasti ramai masih ingat tragedi menggemparkan bukan saja Malaysia bahkan dunia pada tahun 1993 iaitu runtuhnya kondominium Highland Towers dekat Kuala Lumpur.
Antara ‘highlight’ korban awal yang ditemukan adalah seorang wanita bertelekung yang ditemui dengan memeluk al-Quran di balik runtuhan.
Al-Quran akan memberi syafaat kepada orang yang membaca dan mengamalkannya, menghindar dan membela mereka daripada azab kubur serta memberikan keutamaan menaiki tangga kemuliaan di sisi Allah SWT.
Bersahabatlah dengan al-Quran di dunia kerana ia sendiri akan menjadi sahabat kita di alam kubur dan akhirat.
Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah al-Quran sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.”