SEREMBAN – Kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat mencatatkan jumlah tertinggi sepanjang pelaksanaan Operasi Khas Sempena Hari Raya Aidiladha 2025 oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, yang berlangsung dari 4 hingga 10 Jun lalu.
Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, sebanyak 121 notis saman dikeluarkan atas kesalahan tersebut, menjadikannya antara pelanggaran peraturan jalan raya paling serius yang dikesan sepanjang operasi.
“Kesalahan lain yang turut dikesan termasuk tidak memakai tali pinggang keledar, memandu kenderaan berat di lorong laju serta menyalahgunakan lorong kecemasan,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, operasi khas ini memberi tumpuan kepada sembilan kesalahan utama di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) sebagai usaha mengurangkan kadar kemalangan, kecederaan dan kematian di jalan raya.
“Sepanjang tempoh operasi, sebanyak 8,437 kenderaan diperiksa dan 3,044 dikeluarkan. Daripada jumlah itu, 1,342 kenderaan dikenakan tindakan, manakala 53 motosikal dan 14 kereta telah disita.
“Dalam pada itu, jenis notis paling banyak direkodkan ialah Notis JPJ(P)22 yang mencatatkan 2,191 notis, diikuti 333 notis temusiasat (Notis 114), 216 notis arah periksa (Seksyen 61(1)), dan 160 notis larangan penggunaan kenderaan (PG1),” katanya. – KOSMO! ONLINE