PETALING JAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menyokong kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa reformasi memerlukan kesabaran dalam pelaksanaannya.
Menurut beliau, perkara itu adalah satu proses yang dilakukan secara sedikit demi sedikit dan bukannya boleh dilakukan sekali.
“Saya bersetuju dengan Perdana Menteri. Beliau sememangnya betul dalam menyatakan berkaitan reformasi tidak boleh terburu-terburu,” katanya dalam hantaran di laman X semalam.
Bagaimanapun beliau menekankan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri bersama agensi di bawahnya telah membawa Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 dan menerajui lebih daripada 30 pindaan undang-undang sejak 2023.
Katanya, Kerajaan Madani telah membentangkan asas untuk reformasi institusi yang tuntas dan kemas serta tidak mampu ditandingi oleh pentadbiran sebelum ini.
Terdahulu, dalam hantaran di laman Facebook, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menyuarakan kebimbangan Pakatan Harapan menghabiskan 15 tahun untuk membentuk pentadbiran, tetapi menunjukkan kemajuan yang amat sedikit daripada aspek reformasi.- KOSMO! ONLINE