KUALA LUMPUR – Penyanyi Nadeera berharap peminat tidak muak dan bosan hanya kerana dia sering mendendangkan lagu berhantu, Bukan Lagi Kita berulang kali di mana-mana majlis.
Menurut Nadeera atau nama lengkapnya Farah Nadeera Zaini, 32, dia sendiri terbaca komen netizen dalam media sosial berkenaan situasi terbabit.
“Saya ada terbaca komen netizen kata Nadeera ni tak ada lagu lain ke? Asyik lagu yang sama sahaja.
“Namun begitu masih ada ramai peminat saya yang nak mendengarkan lagu Bukan Lagi Kita.
“Janganlah bosan dengan lagu Bukan Lagi Kita. Harap-harap saya akan jumpa lagu baharu yang setanding dengan lagu Bukan Lagi Kita,” katanya ketika ditemui di Big Stage Alpha Showcase yang berlangsung di Pavilion, semalam.
Kata Nadeera, dia agak risau sekiranya lagu baharunya nanti tidak mendapat sambutan sehangatja lagu ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh itu.
“Setiap lagu itu ada rezeki tersendiri. Kita tak tahu nasib sesebuah lagu itu macam mana.
“Apa yang saya harapkan adalah doa dan sokongan peminat untuk lagu-lagu saya yang seterusnya,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Nadeera baru sahaja selesai mengadakan showcase solonya yang berlangsung di PJ PAC baru-baru ini. Seterusnya dia akan terlibat dengan konsert sulung Hael Husaini pada Ogos depan. – KOSMO! ONLINE