LONDON – Persaingan perebutan gelaran kejuaraan dunia Formula Satu (F1) musim ini bakal jadi lebih ‘panas’ melibatkan dua pelumba McLaren, Oscar Piastri dan Lando Norris yang dilihat mula mengatur strategi terbaik.
Bekas pelumba F1, Jolyon Palmer menegaskan tekanan tersebut dapat dilihat sewaktu Grand Prix (GP) Sepanyol apabila Piastri sempat menyindir rakan sepasukannya itu sebagai ‘licik’ kerana mendakwa Norris cuba mengambil angin slipstream daripadanya di laluan pit.
Palmer berpendapat situasi tersebut merupakan petanda awal dua bintang muda itu sudah mula mengatur perang psikologi.
“Oscar (Piastri) tahu apa yang berlaku. Dia terus masuk ke dalam dan brek kuat supaya Lando tak dapat apa-apa.
“Mereka masih nampak baik, tapi ia tak boleh kekal begitu kalau nak jadi juara,” kata Palmer.
Palmer percaya kejuaraan kali ini bakal ditentukan hingga ke garisan penamat dan tidak seperti situasi Mercedes antara Lewis Hamilton-Valtteri Bottas atau di Red Bull Max Verstappen-Sergio Perez yang mana pemenang biasanya sudah dijangka beberapa perlumbaan terakhir.
Ketika ini, Piastri mendahului carta dengan 10 mata di depan Norris, manakala Verstappen ketinggalan 49 mata di tempat ketiga menjelang GP Kanada hujung minggu ini.
“Mereka berdua terlalu seimbang. Masing-masing dahagakan kejayaan menjadi juara dunia kali pertama kali. Kalau masing-masing berlembut, memang tak ke mana,” tambah Palmer.
Bos McLaren, Zak Brown sebelum ini menyatakan pendekatan bahawa pasukan itu tidak menghalang pemandunya berjuang memburu gelaran dunia asalkan bersaing secara sihat. – AGENSI