BANGI – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya memendekkan tempoh siasatan termasuk kes berprofil tinggi dari setahun setengah kepada enam bulan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kejayaan itu dicapai selepas pegawainya menjalani latihan dan kemahiran selain penggunaan teknologi terkini.
“Jika dahulu, mungkin kita ambil masa begitu panjang. Contohnya kes berprofil tinggi ambil masa setahun setengah untuk lengkapkan kertas siasatan, tetapi sekarang dalam enam bulan kita boleh melengkapkannya.
“Ini adalah perkara saya boleh saya diterjemahkan daripada visi kami kira-kira tujuh atau lapan tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-Undang Bertauliah SPRM Kali Ke-2 Tahun 2025 di sini hari ini.
Seramai 250 pegawai SPRM menerima pentauliahan terdiri daripada 74 graduan Pascadiploma Penguatkuasaan Undang-undang Antarabangsa: Kepimpinan Anti-Rasuah (Tahap 7) dan 176 graduan Diploma Profesional Penguatkuasaan Undang-undang Antarabangsa: Pengajian Anti-Rasuah (Tahap 5).
Azam berkata, beliau tidak melihat langkah untuk menambah bilangan pegawai secara besar-besaran sebagai penyelesaian dalam membanteras rasuah di negara ini.
“Yang penting apa pendekatan kita? Tiada gunanya kalau kita tambah pegawai tanpa memperkasa kemahiran. Tanpa pendekatan dan teknologi baharu, ia tidak mempengaruhi apa yang kita ada sekarang.
“Itu angan-angan kami untuk meningkatkan kemahiran pegawai melalui pengetahuan, pendekatan baharu dan teknologi terkini supaya kes dapat dijalankan dengan begitu cepat,” katanya.
Menurut beliau, perubahan yang dilaksanakan SPRM antaranya menyemak semula modul siasatan dan menilai semula prosedur lapuk supaya tempoh itu dapat dikurangkan berdasarkan peruntukan undang-undang.
“Contohnya 10 tahun lalu, kita kerah ramai anggota untuk kenal pasti saksi dan suspek. Tetapi sekarang kita guna teknologi untuk kesan mereka. Dalam tempoh singkat, kita dapat kesan individu yang dicari,” katanya.
Langkah lain yang dibuat adalah menjalin kerjasama strategik dengan universiti di dalam dan luar negara bagi memperkukuhkan kepakaran pegawai SPRM. – KOSMO! ONLINE