TAPAH – Sembilan penumpang bas dua tingkat terselamat tanpa sebarang kecederaan selepas kenderaan dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan lori tunda di Kilometer (KM) 311.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, dalam kejadian pukul 1.28 pagi itu, pemandu bas dipercayai tidak dapat mengawal kenderaannya sebelum melanggar lori tunda.
“Sembilan penumpang bas tidak mengalami sebarang kecederaan termasuk pemandu kedua.
“Pemandu pula tersepit namun berjaya dikeluarkan anggota bomba dengan menggunakan peralatan khas. Lelaki itu cedera di kaki kanan. Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital dengan ambulans bagi mendapatkan rawatan,” katanya hari ini.
Pemandu dan kelindan lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan. – KOSMO! ONLINE