SEBERANG PERAI – Tiga buah rumah rosak selepas salah sebuah daripada kediaman itu dibaling mercun dalam kejadian di Taman Serumpun, Bukit Mertajam di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai yang memaklumkan terdengar bunyi letupan kuat kira-kira pukul 1.05 pagi.
“Siasatan awal mendapati ia berpunca daripada mercun yang dibaling ke dalam sebuah rumah dan impak letupan mengakibatkan dua lagi kediaman yang terletak bersebelahan turut mengalami kerosakan.
“Ketiga-tiga rumah terbabit mengalami kerosakan di bahagian siling dan halaman rumah manakala dua buah kereta juga rosak,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu berpunca daripada masalah hutang.
Katanya, perbuatan itu disyaki dilakukan oleh dua lelaki yang menaiki sebuah kereta dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957.
Dalam pada itu, beliau turut memohon kerjasama saksi awam yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah bagi membantu siasatan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superintendan Assan Alimudin ditalian 012-4418081. -KOSMO! ONLINE