SHAH ALAM – UMNO bukan parti terlalu bergantung kepada personaliti tertentu sehingga hilang arah apabila pemimpin tersebut bertindak keluar daripada parti berkenaan.
Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin sebaliknya menegaskan, ia adalah milik semua ahli dengan perjuangan perlu diteruskan dalam mengangkat martabat parti itu sendiri.
Katanya, UMNO Selangor khususnya enggan terganggu dengan pelatakan semua jawatan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam parti itu termasuk sebagai Ketua Bahagian UMNO Kota Raja.
“Kita tidak mahu terganggu dengan keputusan (Zafrul) itu. Saya ada bertemu dengan beliau dalam satu majlis dan kita tiada masalah serta hubungan persahabatan juga macam biasa,” katanya pada sidang akhbar perasmian Mesyuarat Perwakilan Sayap UMNO negeri di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, malam tadi.
Menurut Megat yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, pihaknya turut gembira apabila tiada cawangan Kota Raja ditutup setakat ini.
Megat Zulkarnain turut mengesahkan Abdul Raof Mokhtar dilantik sebagai pemangku Ketua UMNO Bahagian Kota Raja menggantikan Tengku Zafrul.
Jelas beliau, pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk dibawa dalam mesyuarat MKT.
“Yang pergi, biarlah pergi. Namun, yang tinggal saya fikir adalah mereka yang akan terus berjuang membawa panji dan semangat UMNO termasuk Kota Raja.
“Saya bangga dengan Raof bersama Naib Ketua Bahagian, pemimpin sayap dan jawatankuasanya yang kekal meneruskan perjalanan aktiviti seperti biasa,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE