KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan dalam tiga pertuduhan pengubahan wang haram RM27 juta dana SRC International Sdn. Bhd. memohon supaya Datuk Seri Najib Tun Razak dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada tiga pertuduhan itu.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib membuat permohonan itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi, bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi Najib yang dihantar pada 31 Julai 2023.
Muhammad Shafee berkata, DNAA adalah paling terbaik untuk diberikan kepada anak guamnya buat masa ini, dengan mengambil kira faktor garis masa yang tidak pasti bila perbicaraan kes itu akan bermula.
Beliau berkata, tuduhan terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu telah dibuat pada tahun 2019 di mana ia sudah mengambil masa selama enam tahun, manakala representasi pula telah dikemukakan pada 31 Julai 2023.
“Pihak pembelaan mencadangkan pelepasan tidak berjumlah kepada pembebasan penuh bagi mengelak membebankan dokumen mahkamah dan memberi masa kepada pihak pendakwaan untuk melakukan persediaan tanpa prejudis
“Tertuduh tidak seharusnya menunggu selama-lamanya bagi tarikh perbicaraan untuk ditetapkan. Keadilan memerlukan kejelasan dan kepastian bagi kedua-dua pihak,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan AGC menolak representasi Najib dan pihak pendakwaan berhasrat untuk meneruskan perbicaraan kes terbabit.
Ashrof Adrin berkata, sebanyak 807 ekshibit telah dikemukakan dalam perbicaraan penyelewengan dana SRC pertama sebelum ini di Mahkamah Tinggi dan kebanyakannya diperlukan untuk perbicaraan kes pengubahan wang haram pula.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Muniandy kemudian menetapkan pada 20 Jun ini bagi membuat keputusan sama ada untuk memberikan DNAA kepada Najib.
Pada 3 Februari 2019, Najib, 72, didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya, di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.
Mahkamah Tinggi sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.
Beliau memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022 dan Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – KOSMO! ONLINE