KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengambil keterangan seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana sukuk di Lembah Klang, hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, proses tersebut yang dibuat di kediaman invidu berkenaan bermula dari pukul 9 pagi hingga 3 petang tadi.
“Keterangan diambil di kediamannya disebabkan masalah kesihatan. Rakaman percakapan akan disambung esok pada pukul 9 pagi.
“Setakat ini, sebanyak 52 keterangan saksi sudah diambil bagi membantu siasatan,” katanya kepada Kosmo! sebentar tadi.
Sebelum ini, media melaporkan dua pegawai penyiasat SPRM melaksanakan proses itu di kediaman Tan Sri berkenaan di ibu negara selepas beliau dibenarkan keluar dari hospital.
Sumber dilaporkan berkata, SPRM turut melakukan serbuan di kediaman Tan Sri berkenaan di Melaka, namun tiada sebarang rampasan atau sitaan.
Terdahulu, SPRM menyita pelbagai aset, termasuk beg tangan, barangan kemas, kenderaan mewah, jam tangan, wang tunai dan kediaman mewah yang keseluruhan dianggarkan RM32 juta, dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri. – KOSMO! ONLINE