fbpx
PARA pemain Senegal meraikan kejayaan menewaskan England dalam aksi persahabatan di City Ground awal pagi tadi. - AFP

Senegal cipta sejarah benam England

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NOTTINGHAM – Senegal mencipta kejutan dalam aksi persahabatan antarabangsa apabila menewaskan England 3-1 di City Ground awal pagi tadi sekali gus menjadi pasukan Afrika pertama menundukkan lawan itu dalam 22 pertemuan.

Gol daripada Ismaila Sarr, Habib Diarra dan Cheikh Sabaly membolehkan juara Afrika itu bangkit selepas ketinggalan awal menerusi jaringan Harry Kane pada minit ketujuh.

Senegal yang turun dengan semangat tinggi, tampil dominan sejak awal dengan corak tekanan tinggi, namun kesilapan pertahanan sendiri membolehkan England mendahului hasil jaringan Kane selepas Edouard Mendy gagal menangkap kemas percubaan Anthony Gordon.

Sarr menyamakan kedudukan pada minit ke-40 selepas Kyle Walker gagal mengawal hantaran lintang Nicolas Jackson.

Di babak kedua, Diarra memastikan gol kedua Senegal menerusi lorongan cantik di celah kaki penjaga gol England, Dean Henderson pada minit ke-62.

Gol ketiga Senegal hadir pada masa kecederaan hasil penyudah kemas Sabaly sekali gus mengesahkan kemenangan bersejarah itu, sementara gol lewat Jude Bellingham dibatalkan selepas bola didapati terkena tangan dalam proses jaringan.

“Kami bangkit dengan penuh keyakinan dan kekal tersusun hingga akhir. Saya ucap tahniah kepada pemain saya atas semangat juang mereka. Tahniah juga kepada England, mereka tetap pasukan yang berkualiti,” kata jurulatih Senegal, Pape Thiaw.

England kini merekodkan kekalahan pertama di bawah kendalian Thomas Tuchel selepas empat perlawanan, manakala Senegal melebarkan rekod tanpa kalah kepada 24 perlawanan berturut-turut di pentas antarabangsa. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI