fbpx

Pengarah perunding didakwa lagi gagal lapor suapan Penjana Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Ispandi bersama isteri selepas prosiding di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM – Seorang pengarah perunding didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan gagal melaporkan pemberian rasuah RM10,000 berkaitan tuntutan Program Penjana, empat tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Ispandi Othman, 54, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.

“Mohon dibicarakan,” kata tertuduh.

Muhammad Ispandi didakwa gagal melaporkan pemberian suapan wang tunai RM10,000 daripada seorang pengarah urusan syarikat perunding melalui seorang perantara dengan tujuan bagi membantu mempercepatkan program Penjana di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Perbuatan itu dilakukan Taman Sri Gombak pada 28 Oktober 2021 seterusnya melakukan kesalahan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Timbalan Pendakwa Raya, Selvam T. Armugom mencadangkan agar jumlah jaminan RM50,000 dikenakan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini bagi 10 pertuduhan sama dihadapi tertuduh digunapakai bagi kes ini.

“Kami juga memohon agar kes dipindahkan untuk dibicarakan bersama 10 kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

“Alasannya kerana kesemua kes dipertuduhkan melibatkan jumlah dan saksi-saksi pendakwaan serta dokumen digunakan bagi pengurusan dan perbicaraan adalah sama seterusnya dapat menjimatkan masa mahkamah,” katanya.

Tertuduh diwakili peguam-peguam bela, Azam Rashid dan Ainul Azirahman Ainuljamal tidak membantah dan menyokong permohonan itu.

Mahkamah kemudiannya membenarkan semua permohonan pihak pendakwaan.

Kosmo! pada 6 Jun lalu melaporkan Muhammad Ispandi mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan gagal melaporkan kepada SPRM pemberian rasuah keseluruhan RM100,000 berkaitan tuntutan Program Penjana. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI