fbpx
RAZMAN (kanan) ketika sesi sidang media perlawanan persahabatan Selangor FC menentang Asia Warriors FC yang dijadualkan berlangsung di Stadium MBPJ, 26 Julai ini. - SADDAM YUSOFF

Pemain muda patut takut dengan kami – Razman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Bekas pertahanan Harimau Malaya, Razman Roslan beri amaran awal bahawa barisan muda Selangor FC seharusnya berasa gentar untuk berdepan bekas pemain yang akan turut beraksi pada perlawanan menentang Asia Warriors FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 26 Julai ini.

Razman berkata, walaupun dirinya dan rakan sepasukan sudah tidak aktif dalam saingan profesional, pengalaman luas yang dimiliki bakal menjadikan perlawanan ini lebih menarik dan tiada jalan mudah bakal dilalui oleh pemain muda.

Razman mengakui barisan pemain Gergasi Merah seperti Faisal Halim, Harith Haikal Adam Afkar dan Shahrul Nazeem Zulpakar mempunyai kualiti tersendiri namun barisan bekas pemain tetap akan menjanjikan cabaran sekaligus menghiburkan peminat yang hadir ke stadium.

“Kehadiran mereka pasti memberikan kami sedikit kesukaran malah mereka adalah antara pasukan terbaik di Malaysia. Tetapi kami juga ada pengalaman beraksi di peringkat tertinggi, jadi perlawanan ini akan menjadi pertarungan dua darjat yang cukup menarik.

“Pemain muda yang patut takut dengan kami, bukan kami yang takut dengan mereka,” katanya.

Menurutnya, peluang untuk beraksi bersama barisan legenda dari sembilan negara Asia merupakan satu penghormatan besar, bukan sahaja buat dirinya tetapi juga buat pemain muda yang terlibat.

“Apabila bermain semula menentang pasukan lama, saya sendiri pun tertanya-tanya sama ada ini keputusan yang betul atau tidak memandangkan faktor usia sekarang. Saya perlu mempersiapkan diri.

“Bermain bersama legenda dari rantau Asia adalah satu pengalaman berharga, bukan sahaja untuk kami tetapi juga untuk pemain muda Selangor FC,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN