AMPANG JAYA – Tindakan seorang pelajar lelaki menumbuk seorang pengawal keselamatan selepas nyaris terlibat dalam kemalangan di Pandan Jaya, di sini, membawa padah apabila ditahan polis, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11 malam pada Sabtu lalu ketika mangsa iaitu lelaki berusia 37 tahun dalam perjalanan ke Pandan Jaya.
“Mangsa telah membuat pusingan U di bawah jambatan dan tiba-tiba sebuah motosikal jenis Yamaha LC ditunggang suspek berada di laluan sama sehingga hampir menyebabkan kemalangan.
“Mangsa sempat mengelak, namun suspek telah memarahi sebelum bertindak menolak serta menumbuk dada dan kepala pengawal keselamatan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Azam berkata, mangsa dipercayai tidak melawan dan hanya mendiamkan diri sahaja sebelum kejadian itu dileraikan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.
Sehubungan itu, katanya, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (D7) Ampang Jaya berjaya menahan seorang lelaki berusia 19 disyaki terlibat dalam kes itu sekitar pukul 6.50 petang, kelmarin.
“Saringan ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod lampau. Suspek direman selama tiga hari sehingga esok,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 323 (sengaja mendatangkan kecederaan) dan 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan secara jenayah.
“Saspek kes ini akan dituduh esok di Mahkamah Ampang,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE