KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu representasi Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggugurkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn. Bhd. ditolak Jabatan Peguam Negara (AGC).
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Ashrof Adrin Kamarul pada sebutan kes berhubung status representasi yang dihantar pada 31 Julai 2023 itu di hadapan Hakim K.Muniandy.
Justeru dengan keputusan itu, pihak pendakwaan memaklumkan akan meneruskan kes dengan perbicaraan.
Pada 3 Februari 2019, Najib, 72, didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya, di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.
Mahkamah Tinggi sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.
Beliau memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022 dan Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – KOSMO! ONLINE