TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melawat semua waris 15 pelajarnya yang terkorban dalam nahas di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli-Gerik dekat sini kelmarin.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, turut sama petugas kaunseling dan sukarelawan pelajar UPSI yang akan membantu menguruskan keperluan pelajar dan keluarga termasuk yang mengalami kecederaan.
“Seramai 40 pelajar menaiki bas dari UPSI ke kampung halaman mangsa di Jerteh dan Setiu, Terengganu untuk memberi penghormatan terakhir sebelum dikebumikan.
“Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin ke kampung halaman mangsa untuk melihat sendiri urusan pengebumian jenazah,” katanya di sini hari ini.
Katanya, UPSI turut menubuhkan dua tabung khas untuk orang ramai menyumbang iaitu Tabung Majlis Perwakilan Pelajar (RHB Bank: 25807500029702) dan Tabung UPSI Prihatin (Bank Islam : 08068010003264).
“UPSI membuka bilik gerak kerja untuk memantau segala urusan dan sentiasa prihatin terhadap kebajikan pelajar malah akan memberikan bantuan psikologi kepada mangsa yang sedang mendapat rawatan di hospital,” katanya. – KOSMO! ONLINE